KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima kurnia Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ia bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib yang disampaikan baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Chong Wei berkata, gelaran itu bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan dalam sukan itu.
“Terima kasih atas kurniaan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) daripada Tuan Yang Terutama, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri pada hari ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan yang amat bermakna ini. Walaupun saya telah bersara dari gelanggang, semangat Malaysia terutamanya Pulau Pinang sentiasa saya bawa ke mana sahaja saya pergi.
“Gelaran ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” tulisnya.
Anak jati Pulau Pinang itu telah mengharumkan nama negara dengan menduduki takhta nombor satu dunia selama 349 minggu termasuk 199 minggu berturut-turut (2008–2012) dalam sejarah badminton termasuk muncul sebagai atlet Malaysia paling berjaya dalam Sukan Olimpik menerusi tiga pingat perak dalam tiga temasya. – MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

