KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025 — Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), yang dahulunya dikenali sebagai Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan MMSB Consult Sdn Bhd sebagai Jurutera Perunding Bebas (Independent Consultant Engineer, ICE) bagi Projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara. Pelantikan ini dibuat melalui proses tender terbuka, diikuti dengan penilaian menyeluruh.
Skop kerja melibatkan semakan terperinci terhadap fasa reka bentuk, pembinaan, pengujian & pentauliahan, serta operasi & penyelenggaraan, bagi memastikan pematuhan terhadap semua keperluan projek, piawaian dan peraturan yang berkenaan.
Pelantikan ini mencerminkan kemajuan ketara bagi Laluan Mutiara, yang kini sedang beralih daripada peringkat persediaan ke fasa kesiapsiagaan pembinaan.
Sementara itu, Pakej Kontrak Utama Awam 1 yang dianugerahkan kepada SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) telah berkuat kuasa pada 23 Jun 2025, setelah mereka memenuhi syarat-syarat utama kontrak. Seterusnya, SRS telah menepati beberapa keperluan tambahan pelaksanaan projek, sekali gus membolehkan Notis Untuk Mula Kerja (Notice to Proceed, NTP) dikeluarkan pada 15 Julai 2025. Dengan pengeluaran NTP ini, kerja-kerja di bawah Pakej 1 akan dipercepatkan.
Sebelum pengeluaran NTP, beberapa aktiviti awal telah pun dimulakan, termasuk penyiasatan tanah, ujian cerucuk, tinjauan keadaan prapembinaan, serta pemantauan instrumentasi dan alam sekitar di lokasi-lokasi terpilih sepanjang jajaran.
Projek ini kekal berada di landasan tepat untuk memulakan kerja-kerja awal pada Ogos 2025, yang merangkumi pemindahan utiliti, kerja-kerja cerucuk, dan penyediaan tapak. Menjengah ke hadapan, kerja-kerja pembinaan awam berskala besar dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026.

