KUALA LUMPUR: Pameran Kita Punya Cerita bagi memperingati Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee di Event Space, The Linc KL, di sini, sejak 2 Mei lalu dilanjutkan sehingga 9 Jun ini.
Lanjutan tempoh pameran anjuran Tam Maba Studio dengan kerjasama Aqila & Seni itu dibuat selepas mendapat sambutan positif pengunjung.
Penganjur pameran yang juga pemilik Aqila & Seni, Samsudin Harun, berkata orang ramai boleh melihat hasil karya seni daripada pelukis tempatan dengan lanjutan tempoh itu.
Menurut Samsudin atau mesra disapa Dean, penganjuran pameran untuk Seniman Agung itu yang pertama kali dianjurkan pihaknya.
“Selepas melihat sambutan baik, kami berbincang dengan The Linc KL untuk sambung pameran sehingga 9 Jun. Alhamdulillah, mereka bersetuju dan beri kebenaran.
“Malah, saya boleh katakan sambutan terhadap pameran ini sejak hari pertama diadakan sangat baik,” katanya pada majlis pelancaran bagi lanjutan Pameran Kita Punya Cerita di The Linc KL di sini, pada 24 Mei 2025.
Pameran Kita Punya Cerita juga membawa pelbagai karya seperti kartun, lukisan dan buku daripada 42 orang pelukis serta kartunis.
Selain itu, pameran ini bertujuan menyemarakkan lagi industri seni untuk tatapan semua generasi yang meminati karya seni.
Majlis pelancaran Pameran Kita Punya Cerita turut dihadiri anak kepada bintang tersohor, Allahyarham AR Tompel, Azman Aman Ramlie dan cucu Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma, Rozaidie Armali.
Sumber : Berita Harian

