SEBERANG JAYA – Pulau Pinang terus melangkah ke hadapan dalam usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyatnya selari dengan visi negeri ke arah Pulau Pinang 2030.
Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Mohamad Abdul Hamid, Komitmen ini dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif dan program yang digerakkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP).
ADUN Batu Maung itu juga baru-baru ini telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PPAPP Bil. 1 Tahun 2025 yang berlangsung di Seberang Jaya selepas selesai lawatan kerja di SK Sungai Dua, Tasek Gelugor.
Tambah beliau, mesyuarat tersebut menekankan peranan berterusan PPAPP dalam meneraju agenda pembudayaan ilmu melalui pembacaan di negeri ini.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuklah program “Jom Baca 10 Minit Bersama TKM1” yang berlangsung sempena Karnival Singgah Perpustakaan Peringkat Negeri Pulau Pinang di SMK Bayan Lepas.
“Program ini yang bermula di PPAPP Seberang Jaya pada tahun lalu, telah menunjukkan impak positif dan akan diperluaskan ke 40 buah sekolah terpilih sepanjang tahun 2025” tambahnya lagi.

Selain memberi tumpuan kepada pelajar sekolah, PPAPP turut merancang untuk mengembangkan program pembudayaan ilmu ke peringkat lebih luas melalui premis perpustakaan fizikal dan digital. Pendekatan ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama agensi-agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi.
Menurut Mohamad, usaha ini diharap dapat membentuk masyarakat celik ilmu dan berbudaya membaca sebagai asas kepada pembangunan negeri yang berdaya saing, inklusif dan progresif menjelang 2030.

