GEORGE TOWN: Cadangan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik (e-rokok) atau vape di Pulau Pinang masih belum dibincangkan di peringkat kerajaan negeri, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Menurut beliau, sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas ia dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) oleh mana-mana ahli yang bertanggungjawab dalam portfolio berkaitan.
“Kita akan tunggu jika ada mana-mana Exco membawa isu ini ke dalam mesyuarat, dan ketika itu barulah kerajaan negeri akan meneliti secara mendalam dan memutuskan tindakan selanjutnya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, Johor menjadi negeri pertama yang mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.
Chow berkata, meskipun Pulau Pinang belum membuat keputusan muktamad, isu itu wajar diberi perhatian dan akan dibincangkan sekiranya dibangkitkan dalam mesyuarat akan datang.
Sumber : Buletin TV3

