NIBONG TEBAL: Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM10.22 juta untuk pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta surau bagi tahun ini.
Ia termasuk pembinaan masjid baharu, kerja baik pulih serta penyediaan kemudahan lebih selesa buat jemaah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata selain peruntukan pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta surau, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM14.2 juta bagi memperkasa pendidikan Islam di negeri, termasuk menaik taraf sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz.
“Langkah ini selaras komitmen untuk memastikan generasi muda mendapat pendidikan berkualiti dalam persekitaran yang kondusif.
“Di Pulau Pinang, kerajaan negeri sentiasa memastikan dalam arus kemajuan dan pengagihan kemakmuran, tiada sesiapa dipinggirkan,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al Jarrah di Bandar Tasek Mutiara, di sini, pada 18 Mac 2025.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyenaraikan 10 projek keutamaan negeri bagi permohonan khas projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dengan anggaran kos keseluruhan lebih RM11 bilion.
“Antara disenaraikan termasuk Projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL), projek naik taraf jalan raya, pemasangan paip serta bangunan, pembinaan sekolah serta pembangunan bandar nelayan.
“Justeru, saya berharap permohonan-permohonan ini mendapat perhatian Perdana Menteri sendiri demi menyokong kelancaran pembangunan di Pulau Pinang,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online

