GEORGE TOWN – Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Sekolah Menengah Han Chiang, di sini pada 19 November diraikan dengan penuh warna-warni dengan kehadiran hampir 3,000 pengunjung.
Perayaan yang sinonim sebagai ‘Pesta Cahaya’ ini menjadi medan perpaduan apabila pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama hadir bersama-sama meraikan keindahan serta keunikan budaya masyarakat India yang menjadi sebahagian daripada warisan Malaysia.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata sambutan seperti ini adalah cerminan keharmonian sosial yang menjadi nadi kekuatan negeri ini.
“Inilah sebahagian daripada kekuatan kita di Pulau Pinang, sebuah negeri yang menjunjung perpaduan dan kesepaduan sosial,” katanya.
Seorang pengunjung, Shahrom Bahtiar, 52, yang hadir bersama-sama keluarganya melahirkan rasa bangga mengenakan pakaian tradisional sebagai tanda penghormatan terhadap budaya kaum India.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor.
-ZS-
SUMBER : MALAYSIA AKTIF

