ALMA, 14 Jan – Pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional – Kecerdasan Buatan (TVET-AI) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah berasrama penuh dilihat memberi impak signifikan dalam memperkukuh kesiapsiagaan pelajar dengan kemahiran teknologi dan digital.
Perkara itu menjadi fokus Sesi Libat Urus Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bersama ibu bapa, yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, di sini semalam.

Menurut Fadhlina, pelaksanaan TVET-AI di sekolah berasrama penuh merupakan langkah strategik untuk memperluas pendedahan awal pelajar kepada kemahiran teknikal dan kecerdasan buatan, tanpa menjejaskan kecemerlangan akademik sedia ada.
“Program ini bukan sahaja menekankan pencapaian akademik malah membekalkan kemahiran teknologi dan digital yang sangat diperlukan dalam dunia pekerjaan hari ini,” katanya.
Fadhlina turut menjelaskan bahawa inisiatif tersebut selari dengan agenda Reformasi Pendidikan di bawah kerangka Malaysia MADANI yang menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan amali, penggunaan teknologi pintar serta pengukuhan hubungan dengan industri.
Pelaksanaan TVET-AI di sekolah berasrama penuh diharap dapat membuka lebih banyak peluang laluan kerjaya berkemahiran tinggi, sekali gus memperkasa potensi pelajar sebagai tenaga kerja masa hadapan yang inovatif dan berdaya tahan.
-AA-
Sumber : Malaysia Aktif

