Wednesday, May 13, 2026
UtamaBeritaProgram Titipan Kasih Back To School PTPTN beri sumbangan kepada 200 murid

Program Titipan Kasih Back To School PTPTN beri sumbangan kepada 200 murid

PULAU PINANG, 8 Januari 2026 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)memperkukuh komitmennya membantu golongan memerlukan dalam aspek pendidikan menerusi penganjuran Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026.

Program tahunan di bawah agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN ini dilaksanakan secara konsisten bagi meringankan beban kewangan golongan yang kurang berkemampuan, khususnya ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu.

Melalui program ini, para pelajar yang berkeperluan dan terpilih menerima sumbangan set pakaian serta beg sekolah baharu.

Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026 telah diadakan di Dewan Dahlia, Midtown PERDA, Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan disempurnakan oleh pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Program ini memberi manfaat kepada 200 orang murid asnaf/B40 dari empat buah sekolah terpilih di Pulau Pinang iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Sekolah Kebangsaan Pokok Ketapang, Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti Tasek Gelugor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor.

Melalui program ini, pelajar akan menerima bantuan set pakaian serta beg sekolah berjumlah RM43,600 sumbangan daripada PTPTN.

Manakala pihak Media Prima Berhad pula turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000 yang mana setiap pelajar akan menerima RM100.00 setiap seorang.

Bagi memastikan bantuan yang diberikan dinikmati oleh golongan sasar, program ini turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Menurut Norliza, di sebalik peranan utama PTPTN dalam memperkasa pendidikan tinggi negara, PTPTN turut prihatin menyalurkan sumbangan melalui pelaksanaan program CSR secara berterusan bagi memastikan masyarakat tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat masalah kewangan.

“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam persediaan sesi persekolahan baharu di samping menyemai kesedaran tentang kepentingan perancangan dan simpanan pendidikan demi masa depan anak-anak.” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, kerjasama tahun ketiga itu bukti keprihatinan berterusan Media Prima dan Harian Metro dalam memperkasakan pendidikan komuniti setempat.

“Kehadiran kami hari ini bukan sekadar menyerahkan bantuan fizikal, tetapi membawa mesej harapan agar anak-anak ini sedar bahawa mereka tidak sendirian dalam mengejar impian. Sebagai organisasi media terbesar, kami bukan sekadar penyampai berita, malah komited memberikan impak sosial yang nyata.

“Pengiktirafan sebagai Company of The Year (Anugerah CSR Malaysia 2023) serta Media of The Year (Sustainability & CSR Award 2025) adalah bukti iltizam kami dalam memperjuangkan nasib masyarakat secara konsisten,” tambahnya.

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments