KUALA LUMPUR – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd serta sokongan dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan perkhidmatan ulang-alik percuma Bukit Bendera sempena cuti persekolahan akhir tahun yang akan datang.
Perkhidmatan ini menyediakan pengangkutan yang mudah antara KOMTAR dan Stesen Bawah Bukit Bendera.
Perkhidmatan ulang-alik percuma akan beroperasi selama empat hari bermula dari 25 hingga 28 Disember 2025, bermula dari pukul 9 pagi sehingga 9 malam dengan kekerapan lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah pada setiap 1 jam 30 minit.
Selain itu, bas ulang-alik direka untuk mesra kerusi roda bagi penumpang dengan keperluan kebolehcapaian tertentu.
Penumpang boleh menaiki perkhidmatan ulang-alik di hentian bas 9 KOMTAR yang terletak di Jalan Ria (laluan bawah bersebelahan kiosk Rapid Penang) untuk sampai ke Stesen Bawah Bukit Bendera dan begitu juga sebaliknya.
Penumpang dapat mengenal pasti bas ulang-alik dengan mudah kerana ia akan ditanda dengan jelas sebagai “Penang Hill Free Shuttle Service”.
Selain itu, tempat mengambil dan menurunkan penumpang akan menampilkan visual jelas untuk menjadikan perkhidmatan ulang-alik mudah dikenali.
Sekiranya bas ulang alik mencapai kapasiti maksimum, pengunjung digalakkan untuk menaiki bas Rapid Penang, Laluan 204, yang beroperasi dari Terminal Bas Weld Quay melalui Komtar ke Bukit Bendera pada kadar biasa.
Perkhidmatan ini beroperasi setiap 35 minit pada waktu puncak dan setiap 45 minit pada waktu luar puncak.
PBBPP yang menjangkakan peningkatan penumpang semasa cuti sekolah akhir tahun berkata, perkhidmatan ini akan menangani cabaran tempat letak kereta yang terhad dan mengurangkan kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette

