BUTTERWORTH – Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin di sini dinaik taraf sebagai Pusat Kecemerlangan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) bagi memperkukuh peranan strategik JBPM Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, langkah itu adalah pendekatan proaktif bagi mempercepatkan masa tindak balas pasukan untuk memberikan respons pantas terhadap insiden kecemasan di perairan Pulau Pinang terutama operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan mangsa lemas.
Menurutnya, ia termasuk kejadian terjun atau cubaan bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“Lokasi strategik ini membolehkan anggota terus ke lokasi kejadian tanpa perlu mengangkut aset dari balai.
“Buat masa ini, terdapat empat jentera iaitu satu unit bot Dolphin dan tiga unit bot aluminium yang ditempatkan di pangkalan ini untuk digunakan semasa operasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian MKAA di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah.
Ahmad Izram berkata, seramai 39 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Bagan Jermal dan Butterworth sentiasa bersiap sedia, dengan dua anggota bertugas setiap syif selama 12 jam.
Selain operasi menyelamat, pangkalan itu juga akan dijadikan pusat utama program kesedaran keselamatan air kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 1 Januari lalu hingga kini, sebanyak 196 kes kematian akibat lemas direkodkan di seluruh negara dengan tujuh daripadanya berlaku di Pulau Pinang.
“Daripada jumlah itu, 175 mangsa adalah lelaki manakala selebihnya wanita.
“Golongan berusia 20 hingga 30 tahun mencatat kes tertinggi,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

