Butterworth: Seramai 150 murid dari 10 buah sekolah di sekitar Pulau Pinang teruja menjadi sebahagian daripada ‘keluarga besar’ Penang FC apabila terpilih menyertai Program Sekolah Angkat SA Mutiara Decor X Penang FC sebagai usaha melahirkan bakat pelapis sekali gus memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi di negeri itu.
EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Penang FC, Daniel Gooi, berkata program itu menyasarkan sekolah biasa bagi membuka peluang kepada pemain berpotensi untuk menonjolkan kemahiran masing-masing menerusi kejohanan yang akan dianjurkan dalam format liga bermula tahun ini.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua; SK Bertam Indah, SK Seri Gemilang; SK Sungai Puyu, SK Kampung To’ Bedor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Said SMK Bertam Indah, SMK Gemilang, SMK Permatang Rawa, SMK Tun Hussein Onn dan akan diperluaskan kepada lima hingga 10 sekolah lagi dalam tempoh terdekat.
“Peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 12, 15 dan 18 tahun ke bawah dan kita akan anjurkan pertandingan liga bola sepak bagi sekolah berkenaan dan jika mendapat maklum balas serta sambutan yang baik kita akan meneruskan program ini menjadi acara tahunan.
“Kita hanya pilih sekolah biasa dan bukan sekolah sukan atau Pusat Latihan Daerah (PLD) kerana percaya bakat-bakat baharu berkualiti ini juga boleh dicungkil di sekolah biasa untuk membantu pembangunan sukan bola sepak negeri pada peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Ketua Unit Sukan Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Ramlee Abu Bakar, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail selain barisan skuad Harimau Kumbang seperti Faiz Subri, Khairul Akmal Rokisham dan Adib Raop.
Gooi menambah, melalui kerjasama erat bersama Penang FC, peserta berpeluang menyertai klinik bola sepak, kelas dan bengkel motivasi selain mendapat pendedahan mengenai teknik latihan serta teori asas permainan bola sepak bagi meningkatkan pemahaman dan ilmu mereka dalam sukan itu dari semasa ke semasa.
Sumber : Berita RTM

