UtamaBeritaPelancongan Perubatan Jana RM601.8 Juta, Pulau Pinang Terus Perkukuh Ekonomi

Pelancongan Perubatan Jana RM601.8 Juta, Pulau Pinang Terus Perkukuh Ekonomi

Sektor pelancongan perubatan Pulau Pinang mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila menjana hasil sebanyak RM601.8 juta melalui kehadiran 285,400 pelancong perubatan dalam tempoh enam bulan pertama 2026.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Y.B. Wong Hon Wai, berkata pencapaian itu telah mengatasi tahap sebelum pandemik COVID-19, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara destinasi utama pelancongan penjagaan kesihatan negara.

Berdasarkan statistik Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), hasil tersebut kira-kira 5.6 kali ganda lebih tinggi berbanding Johor yang merekodkan RM106.8 juta.

Dalam masa sama, sektor pelancongan perniagaan (MICE) turut menjana anggaran RM1.91 bilion pada 2025, menerusi penganjuran 3,391 acara yang melibatkan lebih 451,198 delegasi.

Menurut Wong, Kerajaan Negeri menyasarkan impak ekonomi sektor MICE meningkat kepada RM2.2 bilion menjelang 2027, dengan limpahan manfaat kepada industri perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta peruncitan.

Bagi menyokong pertumbuhan pelancongan, sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan kepada tiga agensi pelancongan negeri pada 2027, melibatkan Penang Global Tourism (RM5 juta), Penang Convention & Exhibition Bureau (RM6.5 juta) dan George Town World Heritage Incorporated (RM3 juta).

Beliau turut memaklumkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan 8.31 juta penumpang pada 2025, melebihi kapasiti reka bentuk sekitar 6.8 juta penumpang setahun.

Projek pembesaran lapangan terbang yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan kapasiti kepada 12 juta penumpang setahun apabila siap kelak.

Dalam perkembangan lain, Pulau Pinang turut menerima 41 pengiktirafan dan anugerah antarabangsa dalam tempoh tiga tahun, termasuk pengiktirafan National Geographic yang menyenaraikan Pulau Pinang antara destinasi terbaik dunia untuk dilawati pada 2027.

Kerajaan Negeri juga sedang memperluas jaringan penerbangan antarabangsa menerusi penerbangan sewaan khas dari Warsaw, Poland; Busan, Korea Selatan; dan Osaka, Jepun, selain memperkukuh tarikan warisan seperti Galeri Arkeologi Guar Kepah, Muzium Negeri Pulau Pinang dan Kota Cornwallis.

Wong berkata, usaha berterusan dalam sektor pelancongan perubatan, perniagaan, warisan dan kesalinghubungan antarabangsa diharap dapat menarik lebih ramai pelawat, meningkatkan aktiviti ekonomi serta memperluas peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments