Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh pembangunan institusi Islam apabila tiga masjid baharu melibatkan kos keseluruhan RM14 juta sedang dalam pembinaan, dengan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2027 memaklumkan bahawa Masjid Cherok Tok Kun Bawah dijadualkan siap pada 2026, manakala Masjid Sungai Bakap dan Masjid Permatang Tinggi dijangka siap pada 2027.
Selain itu, projek Masjid Cherok Tok Kun Atas bernilai RM13 juta turut dilaksanakan melalui kerjasama pembiayaan Kerajaan Negeri sebanyak RM3.9 juta, Kerajaan Persekutuan RM6.5 juta dan sumbangan kariah RM2.6 juta. Projek tersebut telah mencapai 80 peratus kemajuan kerja tanah dan dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
Dalam memperkukuh pendidikan Islam pula, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pembinaan tiga Sekolah Agama Rakyat (SAR) dengan kos keseluruhan RM15.07 juta.
Dua daripadanya, iaitu SAR Madrasah Nurul Falah dan SAR Madrasah An-Najah, dijangka siap pada 2027, manakala SAR Masjid Bandar Baru Ayer Itam disasarkan siap menjelang 2028.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut mengumumkan sumbangan khas secara sekali bayar kepada penggerak pendidikan Islam, termasuk guru KAFA, guru sekolah agama rakyat, guru tahfiz, pondok dan tadika Islam, sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan pendidikan agama di negeri ini.
Sementara itu, Pulau Pinang turut mencatat pencapaian dalam sektor ekonomi halal apabila 1,191 syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang aktif, sekali gus meletakkan negeri ini pada kedudukan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Johor dan Selangor.
Bagi memperkukuh ekosistem industri tersebut, Kerajaan Negeri melalui Penang Halal International (PHI) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang merangka Pelan Induk Industri Halal Pulau Pinang 2026–2030 serta membangunkan Taman Perindustrian Halal di Bukit Minyak. Sebanyak RM1.5 juta turut diperuntukkan bagi tahun 2027 untuk mempergiat promosi .

