Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal memperkenalkan Program Mempelai Emas mulai tahun 2027, yang menawarkan bantuan kewangan RM500 secara sekali bayar (one-off) kepada pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, berkata inisiatif baharu di bawah Belanjawan Negeri 2027 itu bertujuan meraikan pasangan pengantin baharu, selain membantu meringankan beban kewangan mereka ketika memulakan kehidupan berkeluarga.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut mengekalkan peruntukan RM58 juta bagi program kebajikan i-Sejahtera untuk memastikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dapat diteruskan.
Selain itu, buat julung kalinya Kerajaan Negeri akan mewujudkan Tabung Pembangunan Sosial Negeri Pulau Pinang dengan peruntukan sebanyak RM350,000 pada tahun 2027.
Tabung tersebut bertujuan menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sosial dan kebajikan, khususnya bagi membantu golongan rentan serta masyarakat yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Menurut Chow, langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan Pulau Pinang turut memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat, tanpa meminggirkan golongan yang berdepan cabaran kehidupan.
Dalam perkembangan sektor perumahan pula, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) akan meneroka pelaksanaan konsep kediaman bersama (co-living) bagi unit Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang bersesuaian pada tahun 2027.
Pendekatan tersebut akan dikaji bagi memenuhi perubahan keperluan perumahan, termasuk golongan yang tinggal bersendirian dan warga emas. Sehingga kini, sebanyak 176,457 unit Rumah Mutiara telah disediakan, bersamaan 80.21 peratus daripada sasaran 220,000 unit menjelang 2030.
Keseluruhan inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperkukuh kebajikan rakyat, kesejahteraan keluarga dan akses kepada perumahan yang bersesuaian di Pulau Pinang.

