Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bagi membincangkan hala tuju pembangunan negara serta perkara berkaitan pelaksanaan Belanjawan 2027 yang telah dibentangkan sebelum ini.
Menurut Chow, mesyuarat tersebut menjadi platform penting untuk membincangkan perancangan dan agenda pembangunan negara, selaras dengan aspirasi Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’.
Belanjawan berkenaan memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh kedudukan ekonomi negara di samping memastikan nilai-nilai Malaysia MADANI terus diterapkan dalam kehidupan masyarakat.
Beliau berharap segala perancangan dan inisiatif yang digariskan dapat menyokong pembangunan negara, khususnya Pulau Pinang, termasuk membantu merealisasikan projek serta program pembangunan yang telah dirancang, sedang dirangka dan dalam proses pelaksanaan.
Usaha tersebut diharap dapat memastikan agenda pembangunan negeri terus bergerak seiring dengan hala tuju pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.

