Pulau Pinang merekodkan nilai eksport sebanyak RM238 bilion bagi produk optik, ketepatan, perubatan dan instrumen pembedahan dari 2021 hingga pertengahan 2026, merangkumi purata 64 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia dalam kategori tersebut.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, angka itu bermakna hampir RM2 daripada setiap RM3 nilai eksport negara bagi produk berkenaan datang dari Pulau Pinang.
Menurut beliau, tujuh daripada 30 syarikat teknologi perubatan terbesar dunia kini mempunyai operasi di Pulau Pinang, iaitu Abbott, Boston Scientific, B. Braun, Smith+Nephew, STERIS, Dexcom dan Intuitive Surgical.
Dari 2021 hingga suku pertama 2026, sebanyak 40 projek pelaburan teknologi perubatan bernilai RM2.3 bilion diluluskan di negeri ini dan mewujudkan hampir 4,500 peluang pekerjaan.
Pulau Pinang turut mempunyai lebih 20 syarikat teknologi perubatan tempatan yang menghasilkan peranti perubatan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
Kerajaan Negeri menyasarkan jumlah itu dapat ditingkatkan kepada 40 syarikat, selain menggalakkan perusahaan tempatan bergerak daripada pembekal kontrak kepada pengeluar produk sendiri dalam usaha memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab teknologi perubatan bernilai tinggi.

