Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang meneliti cadangan penggubalan Enakmen Peruntukan Pembangunan Sama Rata (Equal CDF) bagi mewujudkan mekanisme peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Penasihat Undang-Undang Negeri telah diminta menyediakan draf enakmen berkenaan dan ia telah dibentangkan dalam mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri masih memerlukan masa untuk meneliti perincian draf tersebut dan akan mengadakan libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Justeru, cadangan enakmen berkenaan tidak dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang berikutan tempoh masa yang tidak mencukupi.
Cadangan mewujudkan undang-undang bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan diberikan secara sama rata sebelum ini dibangkitkan di peringkat kepimpinan DAP.
Pada masa ini, ADUN pembangkang di Pulau Pinang menerima peruntukan kawasan sebanyak RM60,000 setiap seorang, manakala Kerajaan Negeri akan terus meneliti mekanisme yang sesuai sebelum cadangan tersebut dibawa ke peringkat seterusnya.

