Tuesday, February 3, 2026
UtamaBeritaHospital Pulau Pinang lupuskan 65 kilogram naskah al-Quran, kitab lusuh dan rosak

Hospital Pulau Pinang lupuskan 65 kilogram naskah al-Quran, kitab lusuh dan rosak

NIBONG TEBAL, 29 Januari: Hospital Pulau Pinang (HPP) melalui Unit Hal Ehwal Islam hospital itu mengumpul sejumlah 65 kilogram (kg) naskah al-Quran serta kitab bacaan yang lusuh dan rosak dalam tempoh dua jam sebelum dibawa ke Pusat Pelupusan yang terletak di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan di Jawi, di sini untuk dilupuskan.

Wakil kakitangan hospital, Ismaruddin Ismail, berkata inisiatif itu pertama kali diambil selepas mengetahui mengenai pusat pelupusan hasil daripada seminar oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.

Katanya, untuk percubaan proses pengumpulan hanya dibuat dalam kalangan kakitangan hospital sebelum ia diperluaskan kepada masyarakat.

“Sebelum ini, kita belum pernah buat pelupusan al-Quran kerana tidak tahu sehingga ada seminar oleh pihak KDN yang memaklumkan mengenai perkara ini.

“Buat pertama kali, pengumpulan hanya dalam kalangan kakitangan hospital sahaja yang mana untuk tempoh dua jam kami berjaya mengumpul 65kg nashkah al-Quran dan kitab-kitab bacaan lain untuk dilupuskan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi wakil hospital, Muhammad Ali Adnan, berkata program itu disambut baik oleh warga hospital selepas mendapat cara betul melupuskan al-Quran selain dapat menjaga kesucian agama Islam.

“Rata-rata kakitangan hospital tinggal di kuarters dan tidak mempunyai banyak ruang untuk menyimpan al-Quran serta kitab-kitab bacaan yang telah lusuh dan rosak tetapi mereka tidak tahu cara yang betul untuk melupuskannya kerana bimbang kesucian ayat suci itu terjejas.

“Jadi, bila tahu ada program pengumpulan untuk pelupusan maka ramai-ramai datang dan kita hanya menjadi orang tengah untuk kutip serta hantar ke pusat pelupusan,” katanya yang hanya mewawarkan berhubung program itu sejak minggu lalu di laman sosial Facebook (FB) dan WhatsApp.

Jelasnya, program pengumpulan itu hanya projek rintis dan bercadang untuk mewujudkan sudut pengumpulan al-Quran lusuh serta rosak pada masa akan datang.

“Perkara ini masih dalam perbincangan kerana bagi kita bila ada sudut itu nanti boleh buka kepada orang ramai yang sebenarnya banyak orang tercari-cari kerana tidak tahu cara untuk pelupusan mengikut kaedah yang betul,” katanya.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments