GEORGE TOWN, 29 Januari – Seramai 1,280 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai sepanjang sambutan perayaan Thaipusam di Pulau Pinang selama tiga hari bermula hujung minggu ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, penugasan besar-besaran itu melibatkan penutupan 17 jalan utama bermula Sabtu ini bagi memberi laluan kepada perarakan pedati.
“Pergerakan pedati emas dijadual bermula jam 6 pagi dari Lebuh Queen menuju ke Jalan Air Terjun, manakala pedati perak pula akan bergerak sejam kemudian dari Lebuh Penang ke lokasi sama.
“Perarakan balik kedua-dua pedati dijangka bermula pada Isnin dengan pedati emas bergerak jam 6 petang diikuti pedati perak pada jam 7 malam dari Jalan Air Terjun ke tempat asal masing-masing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, hari ini.
Antara jalan yang terlibat dengan penutupan ialah Jalan Gotlieb, Lorong Air Terjun, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Kebun Bunga, Jalan Utama, Jalan Brook, Jalan Wright, Jalan Park, Jalan DS Ramanathan dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mengelakkan kawasan sesak serta menggunakan pengangkutan awam.
Mengulas aspek keselamatan, Abdul Rozak berkata, pihaknya turut menggerakkan pasukan khas menerusi Op Cantas bagi mencegah kejadian jenayah termasuk ragut sepanjang tempoh sambutan.
“Kita menasihatkan pengunjung agar tidak memakai barangan kemas secara berlebihan yang boleh menarik perhatian penjenayah.
“Selain itu aktiviti bermain mercun atau bunga api adalah dilarang di kawasan sambutan dan tindakan boleh diambil mengikut Akta Bahan Letupan 1957 terhadap mana-mana individu yang ingkar.
“Penggunaan dron juga tidak dibenarkan sepanjang sambutan Thaipusam kecuali mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia kerana bimbang ia disalahgunakan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan lebih sejuta penganut Hindu serta pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 1 Februari ini.
Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP), Dr R Lingeshwaran dilaporkan berkata berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu, jumlah pengunjung dianggarkan mencecah satu juta dan angka itu dijangka meningkat tahun ini memandangkan sambutan berlangsung selama tiga hari dengan acara kemuncak pada Ahad. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

