PERAI, 30 Januari – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama PGF Insulation Sdn. Bhd. (PGF) melancarkan Program Kitar Semula Cermin Kenderaan Terpakai sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh pengurusan sisa pepejal secara lestari di negeri ini.
Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye.
Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Majlis Bandaraya Seberang Perai, Mohd. Ibrahim Md. Noor dan Pengarah Eksekutif PGF Insulation Sdn. Bhd., Tan Ming Chong.


Mooi Lye berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai usaha bersama antara MBSP dan PGF yang mana telah mencerminkan komitmen kukuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor swasta dalam memelihara alam sekitar melalui pendekatan kolaboratif dan berterusan.
Menurutnya, Malaysia kini berdepan cabaran pengurusan sisa pepejal yang serius dengan lebih 38,000 metrik tan sisa dijana setiap hari, yang mana antara tiga hingga lima peratus daripadanya terdiri daripada komponen kaca atau cermin.
Katanya, walaupun peratusan itu dilihat kecil, namun kaca merupakan bahan yang tidak boleh reput dan memerlukan kaedah pengurusan yang lebih sistematik.
“Pulau Pinang yang terkenal dengan gelaran “Negeri Hijau” kini mencatatkan kadar kitar semula melebihi 50 peratus.
“Secara khusus, kadar kitar semula di Seberang Perai telah meningkat secara konsisten daripada 42.60 peratus pada tahun 2016 kepada 57.61 peratus (2025) dengan jumlah bahan kitar semula yang berjaya dikumpulkan mencecah lebih 700,000 tan setahun.
“Selama ini, usaha kitar semula banyak tertumpu kepada plastik, kertas dan sisa makanan.
“Justeru, pelaksanaan program kitar semula cermin kenderaan terpakai ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam menangani sisa yang sering diabaikan, namun mempunyai potensi nilai ekonomi kitaran yang tinggi,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.


Beliau berkata, kerjasama antara MBSP dan PGF juga selari dengan konsep ekonomi kitaran yang mana cermin kenderaan terpakai dimanfaatkan sebagai sumber bahan mentah dan bukan sekadar sisa buangan.
“PGF mempunyai keupayaan memproses sehingga 1,000 metrik tan sisa cermin kenderaan terpakai sebulan bagi penghasilan produk mereka.
“Kerajaan Negeri turut menyambut baik pelaburan berskala besar yang dilaksanakan oleh PGF untuk memperluaskan kapasiti syarikat melalui pemanfaatan sisa kitar semula, ujarnya.
Tambahnya lagi, sejak tahun 2024, PGF juga telah menjalinkan kerjasama strategik dengan 36 syarikat cermin kaca di Seberang Perai.
“Kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ini membuktikan komitmen bersama dalam memelihara alam sekitar melalui amalan yang lestari dan bertanggungjawab.
“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat akan bekerjasama dengan PBT bagi memanfaatkan sisa kitar semula sebagai bahan mentah dalam proses pembuatan, sekali gus menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif ekonomi kitaran serta penyertaan sektor industri lain di negeri ini,” ujarnya.
Sementara itu, Baderul Amin berkata kerjasama tersebut membuktikan bahawa kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, merentasi sempadan sektor awam dan swasta.
“Program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan amalan kitar semula kaca automotif secara sistematik dan membantu mengurangkan pelupusan sisa kaca ke tapak pelupusan.
“Selain itu, inisiatif ini juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa kaca yang selamat dan lestari serta membina budaya komuniti yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar melalui penyertaan aktif semua pihak.
“Apa yang lebih membanggakan adalah melalui kerjasama ini membolehkan sejumlah 179.414 tan sisa cermin kaca kenderaan berjaya dikitar semula dalam tempoh dua tahun sahaja,” katanya.
Baderul Amin berkata inisiatif tersebut juga selari dengan aspirasi Penggunaan Bijak dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Inilah pendekatan bandar raya masa hadapan yang bukan hanya membangun dengan pantas tetapi membangun dengan hikmah dan keseimbangan.
“Saya menaruh harapan yang tinggi agar program ini tidak terhenti sebagai satu pelancaran semata-mata, tetapi berkembang sebagai gerakan berterusan yang disokong oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Saya juga berharap lebih banyak syarikat, komuniti setempat dan pemain industri akan tampil bersama MBSP dalam memperluaskan inisiatif kitar semula ini, seterusnya menjadikan kitar semula sebagai budaya hidup, bukan sekadar kempen bermusim,” serunya.
Dalam pada itu, Ming Chong berkata program tersebut memberi tumpuan kepada pengumpulan cermin kenderaan terpakai daripada pengusaha bengkel cermin kenderaan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor, bermula tahun 2025.
“Cermin-cermin yang sebelum ini dianggap sebagai sisa kini dapat dimanfaatkan semula melalui proses kitar semula yang lebih tersusun dan bertanggungjawab.
“Sejak tahun 2011, PGF telah menggunakan kaca atau cermin terpakai sebagai bahan utama dalam pengeluaran gentian kaca bagi menggantikan penggunaan pasir silika.
“Produk siap kami digunakan secara meluas di Malaysia, Australia dan New Zealand sebagai langkah pasif untuk membantu bangunan mencapai kecekapan tenaga dan negara-negara mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon.
“Hasil daripada usaha ini, PGF kini menjadi antara pengguna sisa kaca terbesar di Malaysia yang mana kami telah memproses sisa-sisa kaca dari pelbagai punca sebanyak 18,000 metrik tan pada tahun 2025.
Katanya, bagi menyokong inisiatif tersebut, PGF telah membuat pelaburan yang signifikan dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta, termasuk penyediaan kawasan khas di kilang bagi penyimpanan dan pemprosesan cermin hadapan terpakai.
“Sehingga 16 Januari lalu, sebanyak 284 metrik tan cermin hadapan telah berjaya diproses.
“Mesin pemprosesan yang pihak syarikat kami laburkan ini mempunyai kapasiti yang jauh lebih tinggi, iaitu 1,000 metrik tan sebulan,” jelasnya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MBSP
Sumber : Buletin Mutiara

