KUALA LUMPUR – Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 41.6 peratus, diikuti oleh Johor (19.8%), Selangor (15.1%), Sarawak (5.6%) dan Kuala Lumpur (3.7%) pada September 2025.
Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM257.5 bilion pada September 2025 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM138.7 bilion dan RM118.8 billion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada September 2025 mencapai RM138.7 bilion, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM15.1 bilion (+12.2%).
Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM11.5 bilion), Johor (+RM3.5 bilion), Selangor (+RM662.0 juta), Perak (+RM135.7 juta), Sabah (+RM105.5 juta), Negeri Sembilan (+RM99.1 juta), Perlis (+RM5.7 juta) dan Melaka (+RM2.5 juta).
Bagaimanapun, nilai eksport menurun di Kedah sebanyak RM515.3 juta, Sarawak (-RM359.4 juta), Labuan (-RM46.5 juta), Pahang (-RM35.5 juta), Terengganu (-RM15.2 juta), Kuala Lumpur (-RM7.3 juta) dan Kelantan (-RM0.7 juta).
Mengulas lanjut mengenai prestasi import, Mohd Uzir berkata, import pada bulan September 2025 meningkat RM8.0 bilion (+7.3%) berbanding bulan yang sama pada tahun 2024.
Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Kuala Lumpur (+RM4.4 bilion), Pulau Pinang (+RM2.2 bilion), Johor (+RM2.0 bilion), Perak (+RM342.8 juta), Negeri Sembilan (+RM335.3 juta), Sabah (+RM302.9 juta), Sarawak (+RM201.6 juta), Melaka (+RM117.9 juta), Perlis (+RM37.4 juta) dan Labuan (+RM36.7 juta).
Namun, nilai import menurun di Selangor sebanyak RM739.2 juta, Kedah (-RM656.2 juta), Terengganu (-RM254.7 juta), Pahang (-RM183.8 juta) dan Kelantan (-RM2.9 juta) Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.1 peratus, diikuti oleh Johor (24.2%), Pulau Pinang (22.5%), Kuala Lumpur (10.3%) dan Kedah (4.8%).
Sumber : Malaysia Gazette

