Tuesday, October 28, 2025
UtamaBeritaEmpangan Air Itam hampir penuh selepas empat tahun

Empangan Air Itam hampir penuh selepas empat tahun

GEORGE TOWN – Empangan Air Itam di Pulau Pinang mencatat paras hampir penuh buat pertama kali dalam tempoh kira-kira empat tahun susulan hujan lebat berterusan di kawasan tadahan air sejak September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, empangan berkapasiti 2,159 juta liter itu mencapai 99.4 peratus kapasiti efektif pada 26 dan 27 Oktober lalu, melepasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 93.4 peratus pada 2 Disember 2021.

Beliau berkata, peningkatan paras air itu hasil taburan hujan sebanyak 526.5 milimeter (mm) di kawasan tadahan Air Itam dalam tempoh dua bulan bermula 1 September hingga 27 Oktober.

“PBAPP kini memaksimumkan pelepasan air mentah dari empangan itu ke Loji Rawatan Air Air Itam bagi meningkatkan pengeluaran air terawat.

“Pelepasan air dinaikkan daripada purata 22 juta liter sehari (JLH) kepada sehingga 65 JLH, jika perlu, bagi mengelak lebihan air dilepaskan ke longkang atau sungai yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan empangan itu masih ditutup kepada orang awam buat sementara waktu susulan kejadian tanah runtuh akibat ribut baru-baru ini dan akan dibuka semula selepas disahkan selamat.

Sementara itu, Pathmanathan berkata, Empangan Teluk Bahang menunjukkan pemulihan berperingkat selepas menerima 788.5mm hujan dalam tempoh 57 hari dan disasarkan mencapai 80 hingga 85 peratus kapasiti efektif menjelang awal tahun depan.

“Empangan Mengkuang pula kekal stabil sebagai rizab strategik manakala paras Sungai Muda berada pada tahap tinggi antara 3.16 hingga 4.74 meter sejak 24 Oktober, melebihi paras selamat 2.0 meter.

“Selain itu, paras air di semua empangan utama kini berada pada tahap selesa bagi menghadapi musim kering dengan unjuran menunjukkan lebih banyak hujan dijangka turun pada November ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments