Sunday, October 26, 2025
UtamaBeritaSSM anjur program disertai lebih 500 mahasiswa, usahawan B40

SSM anjur program disertai lebih 500 mahasiswa, usahawan B40

PERMATANG PAUH, 25 Oktober 2025 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menganjurkan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) melibatkan lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta serta usahawan B40.

Program yang diadakan di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Antara pengisian utama program ialah taklimat kepentingan pendaftaran perniagaan secara sah, slot Scam Alert bagi meningkatkan kesedaran terhadap penipuan kewangan, sesi strategi pemasaran digital, serta perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya.

Azimah berkata bahawa penganjuran PPP25 bertujuan memperkukuh daya saing perniagaan dengan menggalakkan pemanfaatan teknologi digital dalam kalangan usahawan dan pelajar.

“SSM komited membantu usahawan, khususnya PMKS, mengaplikasikan teknologi digital secara berkesan dalam operasi perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut SSM, sebanyak 106,252 syarikat, 693,129 perniagaan dan 2,691 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) telah didaftarkan di Pulau Pinang sehingga 30 September 2025 dan daripada jumlah tersebut, 48,806 syarikat, 125,482 perniagaan dan 2,335 PLT masih aktif.

Dalam majlis sama, SSM turut menyampaikan agihan Wakalah Zakat Korporat dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM137,500 kepada usahawan dan mahasiswa asnaf, institusi keagamaan, pusat kebajikan, sekolah dan akademi di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, RM82,500 diagihkan melalui Wakalah Zakat Korporat kepada penerima termasuk Maahad Tahfiz An-Nahdhoh, Madrasah Al-Aminiah, Masjid Permatang Janggus, Masjid Kampung Papan Pertama, Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam, mahasiswa asnaf UiTM serta Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya.

Sumbangan CSR berjumlah RM55,000 turut disalurkan kepada usahawan B40, Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia (MPKSM), Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Shan, Pusat Jagaan Sinar Ceria, mahasiswa B40 UiTM, Jabatan Pengurusan & Perniagaan dan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED).

SSM berharap inisiatif seperti PPP25 dilihat berperanan penting dalam memperkasa golongan usahawan tempatan, menyokong pembangunan ekonomi digital serta memperkukuh ekosistem keusahawanan yang inklusif di negeri ini.

PPP25 ialah kesinambungan dan penjenamaan semula program keusahawanan SSM terdahulu serta merupakan siri ketiga bagi tahun 2025 selepas Sabah dan Terengganu.- MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments