Tuesday, October 28, 2025
UtamaBeritaOps Selamat PaPa, hampir 7,000 notis dikeluarkan laksana Akta 852

Ops Selamat PaPa, hampir 7,000 notis dikeluarkan laksana Akta 852

GEORGE TOWN, 22 Oktober 2025 – Seramai 50 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaksanakan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, operasi tersebut adalah simbolik kepada pelaksanaan penguatkuasaan menyeluruh Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 1 April 2025 dengan penguatkuasaan penuh sejak 1 Oktober 2025.

“Pelaksanaan operasi ini akan diteruskan secara bersepadu dan strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta pelbagai pihak di seluruh negeri Pulau Pinang bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan Akta 852,” jelasnya kepada pemberita di KOMTAR pada 22 Oktober 2025, sebelum memulakan Ops Selamat PaPa tersebut.

Turut menyertai sidang media tersebut ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rozaini Mat Shah.

Mengulas lanjut, Gooi Zi Sen memberitahu bahawa sepanjang tempoh penguatkuasaan Akta 852 dari 1 Oktober 2024 hingga 19 Oktober lepas, sebanyak 885 operasi telah dijalankan serta 14,736 premis diperiksa.

Hasil operasi penguatkuasaan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang memberitahu bahawa sebanyak 6,812 notis telah dikeluarkan dan 63 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh dikompaun, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 3 dan 10 Akta 852.

Difahamkan, Seksyen 3 Akta 852 menetapkan denda maksimum sehingga RM300,000 dan/atau hukuman penjara bagi kesalahan menjual produk merokok tidak berdaftar, manakala Seksyen 10 antara lain menyatakan bahawa tiada sesiapa pun boleh menjual atau mempamerkan produk merokok untuk tujuan jualan melainkan jika jualan itu mematuhi kehendak yang ditetapkan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Sumber : Buletin Mutiara

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments