SEDUSUN Technology Valley (juga disebut Sedusun Tech Valley), sebuah pusat pertanian dan agropelancongan baharu yang akan menjadi hab penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan dan penjenamaan durian-durian tempatan bakal dikenali sebagai Penang Durian Valley @Relau.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, FAHMI ZAINOL berkata demikian ketika dihubungi wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama NUR ASHIKIN ISMAIL baru-baru ini.
Menurut Fahmi, apabila siap kelak, Penang Durian Valley @Relau ini akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk pengoperasian.
“Buat masa ini, proses penyediaan di tapak projek telah bermula termasuk kerja-kerja pembersihan, baik pulih bangunan sedia ada, perobohan struktur sementara dan pemuliharaan pokok-pokok.

“Projek ini berjalan mengikut jadual dan alhamdulillah setakat ini tiada sebarang halangan yang dilihat akan merencatkan projek ini siap.
“Indikator utama kejayaan projek ini pastinya akan dapat menjana keuntungan lebih kepada Kerajaan Negeri bukan sahaja dari segi agropelancongan tetapi juga dalam aspek pelaburan teknologi moden pertanian.
“Sebagai makluman, Kerajaan Negeri bukan sahaja bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) tetapi turut menjalinkan usahasama dengan Penang Agrotech Sdn. Bhd. untuk meneroka model perniagaan bagi beberapa komponen Penang Durian Valley @Relau ini,” ujarnya.

Dalam mengadaptasi elemen kelestarian, Fahmi memaklumkan bahawa pihak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian berkaitan.
“Ini adalah bagi menerapkan penggunaan teknologi canggih dan terkini dalam pengoperasian Penang Durian Valley @Relau yang memfokuskan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil secara optimum.
“Malah, mereka (NCER) juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang bagi menyaring kriteria pihak-pihak yang ingin menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan kelak,” jelasnya lanjut.
Sebelum ini, ketika hadir menyempurnakan Pesta Durian Pulau Pinang Tahun 2025 pada 28 Jun lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa pusat pertanian terbabit mampu mengembangkan lagi industri pengeluaran durian di negeri ini.
Menurut beliau, pusat terbabit juga bakal menjadi hab pengumpulan data bagi semua varien durian yang ada di Malaysia dan menjadi satu-satunya negeri di negara ini yang memfokuskan penyelidikan, pembangunan dan pendidikan berkaitan durian.

Dalam pada itu, Pengarah Pertanian Negeri, MOHD. MUHAIMIN IBRAHIM juga memaklumkan bahawa kerja-kerja pembangunan projek Penang Durian Valley @Relau kini sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk NCER.
“Ini termasuk menjadikan Penang Durian Valley @Relau sebagai ‘arboretum’ untuk tanaman durian yang pertama di Malaysia.
“Maka, bagi mengekalkan elemen ‘green lung’ untuk kawasan ini dan persekitarannya, sebanyak 65 jenis klon durian berdaftar ditanam di sini,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara baru-baru ini.

Projek Penang Durian Valley @Relau merupakan salah satu projek strategik yang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan RM50 juta sebagai mengiktiraf komitmen serta inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkasa sektor pertanian berasaskan durian di negeri ini.
Projek ini juga bakal menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon Pertanian’ yang memfokuskan kepada industri pertanian pintar atau ‘smart farming’ dan pertanian mampan dalam meningkatkan hasil pertanian secara optimum berbanding kaedah tradisional.
Sumber : Buletin Mutiara